31 Ogos lalu, petangnya Ayah Ngah menyapa seorang sahabat, Pak Pandir yang lalu di hadapan rumah menaiki Proton Wajanya. Pak Pandir memberhentikan kereta lalu menurunkan cermin tingkap kereta. Pak Pandir menjengah Ayah Ngah yang berdiri di hadapan pintu pagar.
"Cepat Ngah pergi isi minyak kereta. Esok harga minyak naik 20 sen..." Katanya.
"Yalah ..." jawab Ayah Ngah sambil mengangguk sedikit. Pak Pandir mengangguk dan beredar ke stesen minyak.
Ayah Ngah terfikir juga untuk mengisi petrol sementara harga petrol mulai naik esok (dikurangkan subsidi sebenarnya). Ayah Ngah cuba mencongak berapa banyak yang dapat dijimatkan.
Kalau tangki kereta kosong, boleh muat sekitar 30 liter. 30 liter X RM0.20 = RM6.00. Tapi tangki kereta Ayah Ngah masih banyak petrol dalamnya. Paling kuat pun, bolehlah isi dalam 10 liter lagi. Ertinya Ayah Ngah berpeluang berjimat sebanyak 10 liter X RM0.20 = RM2.00
Kalau mengikut mentaliti Pak Pandir, sahabat baik Ayah Ngah itu, rakyat berpeluang berjimat antara RM2.00 - RM6.00 tahun ini. Itulah gambaran jumlah penjimatan untuk setahun lagi atau sehingga subsidi petrol dikurangkan lagi nanti.
Ayah Ngah rasa tak berbaloi pulak nak keluar berbaris isi petrol di stesen minyak. Jadi, Ayah Ngah pun menonton tv sahaja di rumah.
Menjelang jam 11.45 malam, terdengar bunyi hon kereta di hadapan rumah Ayah Ngah. Ayah Ngah keluar dan mendapati sahabat Ayah Ngah, Pak Pandir singgah di hadapan rumah.
Pak Pandir enggan masuk ke rumah walaupun dipelawa. Ayah Ngah keluar berbual dengan Pak Pandir di hadapan rumah.
"Sesak betul stesen minyak tadi. Berjam-jam berbaris baru dapat isi minyak." Kata Pak Pandir memulakan perbualan.
"Itulah, malas aku nak keluar isi minyak." Jawab ayah Ngah.
"Rugilah engkau Ngah. Kalau diisi petrol malam ni dapatlah berjimat sementara harga petrol naik besok." Kata Pak Pandir.
"Tak apalah Pandir. Eh, kemana cadangnya engkau esok ?" Tanya Ayah Ngah cuba mengalih tajuk perbualan.
"Tak tahulah aku nak ke mana. Tapi rasanya nak ajak Andeh jalan-jalan. Ronda-ronda ambil angin. Minyak kereta pun dah isi penuh." Jawab Pak Pandir menampakkan kegembiraan di wajahnya.
No comments:
Post a Comment